Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah petang ini mengatakan UMNO perlu merenung semula dasar, cara pergerakan dan beriteraksi dan pandangan serta penerimaan ahli, terutama orang Melayu. “Perlu dibuktikan bahawa persepsi rakyat hari ini keatas UMNO sebenarnya tidak betul dan UMNO sebenarnya masih lagi relevan untuk orang Melayu, rakyat Malaysia dan menangani cabaran Globalisasi”.
Beliau membuat gesaan ini dalam satu majlis bersama sama Cawangan Umno sekitar Subang Jaya di Holiday Villa.
Kuasa orang Melayu hari ini bergantung kepada kekuatan sokongan dari Sabah dan Sarawak kerana calon UMNO telah banyak kalah dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti pilihanraya umum sebelum ini.
“Biasanya dalam sistem demokrasi, Kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti, tidak akan berkesan” ujar pemimpin UMNO berusia 71 tahun itu. “Rakyat mahukan sistem ‘check and balance’, yang ditafsirkan dalam Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008, melalui undi popular. Sistem demokrasi dalam Malaysia makin matang, maju dan celik politik”.
UMNO ditolak dalam PRU 12 kerana keputusan yang dibuat Kerajaan tidak memihak dan menjaga kepentingan rakyat kerana Kepimpinan tidak mendengar hasrat akar umbi. “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Imej dan Perjuangan UMNO perlu membayangi aspirasi akar umbi yang mereka pimpin.
“Rakyat ini hilang keyakinan dan marah kepada BN dan UMNO”. Beliau menegaskan. Walaubagaimanapun, beliau tidak begitu yakin Pakatan Rakyat dengan mudah dapat menubuhkan Kerajaan kerana calon pemimpin mereka bukanlah dari golongan yang cukup mantap. “Yang penting UMNO perlu kembalikan usaha meyakinkan rakyat, memperkuatkan parti dan ubah budaya.
Keadaan yang berlaku hari ini ialah pada orang Bukan Melayu, parti komponen BN terlalu mengikut kehendak UMNO sehingga mereka ditolak sama sekali. Walaubagaimanapun, pada orang Melayu, UMNO dilihat terlalu berkompromi kepada desakan orang Bukan Melayu.
“Krisis yang melanda hari ini ialah mengenai nilai dan Kepimpinan” ujar Tengku Razaleigh. Kelemahan Kepimpinan ialah untuk melaksanakan visi asal UMNO ditubuhkan. Orang UMNO hari ini sanggup memberikan sokongan mereka kepada PAS dan PKR dan membelakangkan UMNO kerana mereka mempunyai persepsi bahawa Pembangkang itu lebih jujur, amanah, bersih dan adil. UMNO hari ini bertanggung jawab untuk membuktikan persepsi ini salah dan UMNO sebenarnya masih relevan.
“Akan budi Bangsa Melayu, yang akan berlaku adil untuk semua” adalah peringatan Tengku Razaleigh kepada dimana UMNO sepatutnya diletakan dalam masyarakat. Namun begitu, UMNO tidak seperti parti komponen, ‘memusuhi’ NGO Melayu yang cuba ‘menegur’, agar UMNO terus menjaga kepentingan Melayu. Secara mudah (convenient), NGO seperti ini dilabelkan sebagai ‘Pembangkang’ dan ada sebagai ‘Pengkhianat’. Oleh demikian, sistem ‘mematangkan’ masyarakat Melayu menjadi lebih terbuka, berketerampilan dan pandangan jauh terbantut.
UMNO didesak perlu menghapuskan persepsi ianya sebuah ‘parti elitis’ dan menangkis tohmahan bahawa UMNO hari ini lebih bersifat ‘liabiliti’, terutama sebagaimana yang dialami parti komponen BN. Ini dijelaskan bahawa kempen parti chauvinis Pembangkang membawa mesej bahawa mengundi parti komponen BN samalah seperti memberi undi kepada UMNO.
“Dasar parti ialah untuk kepentingan Bangsa dan Negara, Bukan untuk Bangsa dan Negara lain”, sebagai gesaan terutama tindakan Kepimpinan hari ini dilihat memberikan kelebihan pada pihak lain, termasuk luar.
Diakhir ucapan, Tengku Razaleigh mengaris langkah yang perlu UMNO lakukan untuk kembali relevan:
1. UMNO perlu mengekalkan semangat Kebangsaan, tanpa mengadaikan roh Islam yang didukungnya
2. Kuatkan sistem oganisasi dengan elemen innovatif, dinamik dan proaktif mutu Kepimpinan
3. UMNO perlu ditingkatkan setara seluruh peringkat dan tidak bergelumang dengan persepsi seperti rasuah dan kronyism
Ini merupakan ucapan paling komprehensif Tengku Razaleigh pernah berikan, yang dibuat atas platform UMNO dalam konteks ‘membaikan’ parti nasionalis Melayu yang berusia 62 tahun itu.
*Perkembangan dikemaskini 7.30pm
Semasa sessi soal jawab, Tengku Razaleigh ditanyakan mengenai cadangan ‘Pengasingan Kuasa’ antara Kepimpinan UMNO dan Eksekutif, sebagai yang diamalkan oleh Parti Komunis China dan memberi jawapan “Memang boleh buat, kalau kita nak buat. Perkara ini pernah dibangkitkan semasa zaman Tun Razak dan beliau menganggotai Biro Politik UMNO, yang membincangkan dengan mendalam isu ini selama 7 bulan”. Akhirnya, keputusan dibuat bahawa ianya tidak sesuai untuk UMNO dan negara. Beliau juga menjelaskan bahawa sistem Perlembagaan Malaysia tiada peruntukan untuk ‘memecat’ (impeach) seorang Perdana Menteri.
Untuk persoalan adakah Tengku Razaleigh akan meneruskan cabaran keatas jawatan Presiden UMNO, walaupun berlaku pertandingan tiga penjuru, beliau menjawab yakin “Kalau ada mandat (cukup pencalonan) dari ahli UMNO, saya akan terus! Saya bukan perlu jaga hati sesiapa, saya bukan perlu ampu sesiapa” dan menambah “Budaya ‘Ampu’ dalam UMNO ini perlu dihapuskan!”. Ini menerima tepukan gemuruh.
Pada soalan peranan Pemuda UMNO dalam konteks hari ini, beliau mengesa perlu diadakan pendoktrinan semula dan ’semangat kepasukanan’ (Espirit D’Corp) dan Pemuda UMNO perlu berterusan diberikan suntikan semangat, bagi meneruskan Perjuangan.
Sebelum itu, penganjur Dato’ Mazlan Harun, mengutarakan bahawa apa yang berlaku merupakan kegagalan sistem Penerangan UMNO dan rakyat, terutama orang Melayu dahagakan penerangan. UMNO juga perlu melihat dan kekal relevan kepada 2 juta pengundi baru menjelang PRU 13.
*Perkembangan dikemaskini 11.30pm
Laporan Bernama.com:
26 April, 2008 20:48 PM
Ku Li Percaya Hasrat PKR Ambil Alih Kerajaan Boleh Jadi Nyata
PETALING JAYA, 26 April (Bernama) — Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih pentadiran negara dalam masa beberapa bulan akan datang tidak mustahil dan boleh menjadi kenyataan, kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata ini kerana memang ada kemungkinan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) “menyeberang” ke pihak Pembangkang.
“Ini bukan cakap main-main, tak boleh kata ini tak boleh berlaku. Orang di Sabah tak begitu kuat rasa kecintaannya terhadap Umno, tak macam kita di sini yang lahir dan membesar dalam Umno dan segala benda yang kita sentuh ada kaitan dengan Umno.
“Saya juga tengok kebanyakan Anggota Parlimen yang terpilih adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu dan mereka masih berhubung rapat dengan Anwar,” katanya semasa sesi pertemuan dengan anggota Umno dari cawangan-cawangan sekitar Subang Jaya di sini hari ini.
Anggota Parlimen Gua Musang itu juga yakin Anwar serius dengan hasratnya mahu mengambil alih kerajaan.
“Tadi kebetulan semasa datang ke sini saya naik satu kapal terbang dengan beliau dan saya tanya beliau sendiri, dan beliau kata beliau serius,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata berdasarkan kepada faktor-faktor itu, pemimpin BN wajar mengambil serius kenyataan Anwar kerana dengan hanya 30 kerusi Parlimen, kerajaan BN boleh tumbang.
“Jangan fikir kita boleh terus berkuasa. Kena ambil tindakan tegas untuk atasi masalah ini,” katanya yang turut melahirkan kebimbangan dengan sikap pemimpin BN sekarang berhubung isu itu.
Mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau berpandangan pemimpin BN sekarang bersikap seolah-olah pengambilalihan kuasa oleh pembangkang tidak akan berlaku.
Ditanya mengenai keyakinannya bahawa terdapat kemungkinan Anggota Parlimen dari Sabah menyertai PKR, Tengku Razaleigh berkata keyakinan itu berdasarkan “suara-suara” dari negeri itu yang antara lain mengatakan bahawa mereka masih kurang senang dengan keadaan sekarang.
“Daripada apa yang saya dengar, mereka tidak mendapat apa yang mereka minta, misalnya lebih banyak perwakilan, maka perkara ini perlu diselesaikan,” katanya.
Kepada soalan lain, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap bertanding jawatan presiden Umno sekalipun ketika pemilihan parti pada Disember nanti, jawatan itu telah dipegang oleh orang lain.
“Kalau saya diberi mandat saya akan bertanding,” katanya sambil menambah setakat ini hasrat beliau disambut baik oleh kebanyakan bahagian Umno.
– BERNAMA
globalmalau:
kekadang peringkat tertinggi telah membawa diri bila jadi PM…dah dapat kuasa kena jaga walaupun dari orang UMNO sendiri…mengapa membisu seribu perkara seolah tidak ada yang berlaku…itulah kelemahan paklah…diam sangat nanti kulit labu pun tak der…kena serious macam T.razaleigh sebut tuh…