Arkib untuk 5 Mei 2008

05
Mei
08

Ada sebabnya

Pembohongan seorang ibu
Posted on April 22, 2008 by bakri88
Copy oleh globalmalau

Menitik airmata ini saat membaca coretan ini…Ibuku seorang pembohong

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.
Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi..
Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih denagn beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.

Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.

Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.

Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap ajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menhadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.

Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu.’ Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebi dari segala-galanya, tapi tidak pernah sealipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

Buat semua yang masih mempunyai ibu…jagalah ibu anda dengan baik. Ibu ibarat lilin yang membakar dirinya untuk memberi cahaya pada anak-anaknya. Dengar dan patuh nasihat ibu dan jangan abaikan ibu bila sudah berjaya.

Globalmalau:Apapun ibu tetap ibu…

05
Mei
08

sekalisekala

As-Sarawaki, 4 Mei 2008: Alhamdulillah! Segala puji, puja dan syukur padaMu Ilahi Rabbi di atas nikmat Iman dan Islam yang Kau tanjapkan kukuh dalam diri kami. Ya Allah, berilah kami taufiq dan hidayahMu agar hidup dan mati kami semata-mata kerana ikrar janji setia yakni penyaksian bahawa ‘La ilaha illalLah, Muhammadur RasulululLah’. Amiin Ya Rabb!

Alhamdulillah, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri baru sahaja selesai melaksanakan Kem Motivasi Insan Cemerlang (KMIC) UPSR yang merupakan program motivasi, kepimpinan dan pendidikan bersiri ke-3 selepas KMIC SPM pada Februari 2008 dan KMIC PMR pada Mac 2008 yang lalu. Program ini telahpun masuk tahun ke-3 penganjurannya dan merupakan program ‘amal demi kelangsungan kecemerlangan anak-anak generasi pelapis Muslim. Alhamdulillah, semoga usaha murni ini beroleh rahmat dan bantuan Allah ke arah melahirkan manusia berfungsi dalam masyarakat sekaligus menjadi Muslim yang berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.

Di dalam melaksanakan program-program sebegini, salah satu hal utama yang wajar diutamakan ialah bagaimana untuk membentuk diri dan peserta untuk bersungguh-sungguh dalam berakidah. Kesungguhan dalam berakidah yang membawa kepada nikmat beragama! Nikmat beragama yakni dengan mempercayai dan meyakini betapa perlunya manusia kepada Tuhan! Bersetuju dengan pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, maka pendekatan sebegini diharapkan mampu menatijahkan para peserta agar lebih mencintai Allah dan memandaikan diri dengan hal ehwal agama.

Agenda menyeru kepada penghayatan nikmat beragama wajar dijelmakan dan terus diperkasakan agar ia sebati dalam jiwa setiap insan. Usaha sebegini adalah salah satu ikhtiar manifestasi tanda bersetuju betapa perlunya program yang memberi penekanan kepada persoalan berakidah ini terus dititikberatkan.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil telah memperincikan akan hal ini di dalam entri beliau ‘Perlukah Manusia Kepada Tuhan?‘:

Jika persoalan “perlukah manusia kepada Tuhan” tidak diselesaikan, kita mahu membebel marahkan orang yang enggan bersolat, kita mahu menyuruhnya bersolat untuk menyembah apa? Menyembah siapa?

Seandainya hal ini tidak selesai, segala nasihat tentang tudung, aurat, berpakaian sopan dan sebagainya… adalah seumpama bunyi motor rempit melintas jalan di depan rumah. Mengganggu ketenteraman awam, dan menyakitkan telinga.

Cabaran terbesar bagi saya sebagai seorang pendakwah, adalah untuk mengajak manusia berfikir, “perlukah mereka kepada Tuhan?” Itulah sebesar-besar persoalan yang mesti diselesaikan, sebelum segala wacana agama mahu diketengahkan.

“Alangkah Hebat dan Tingginya Darjat Orang-orang Yang Beriman!”

Melalui entri kali, saya suka untuk berkongsi dengan tetamu ziarah yang beriman dan budiman sekalian salah satu pengisian yang selalu saya sampaikan sekiranya diminta memberi tazkirah untuk program-program yang dianjurkan sama ada oleh Yayasan ‘Amal Malaysia (Miri), Task Force Pengurusan Kecemerlangan Miri dan beberapa badan Islam yang lain. Semoga ada manfaatnya dunia dan Akhirat, mudah-mudahan.

Kesungguhan Dalam Berakidah

Salah satu kelalaian diri kita dan kebanyakan bahkan majoriti generasi muda dalam hal iman ialah kurang bersungguh-sungguh. Sepanjang program-program yang dilaksanakan, seringkali keluhan yang diluahkan ialah kurangnya pendedahan untuk memahami agama yang menjadi penyebab tiadanya kemahuan sebenar untuk melaksanakan solat kerana ibubapa mereka juga tidak bersolat, seronok malah sesetengahnya menjadi ghairah dengan maksiat kerana suasana rumahtangga yang tidak berpersekitaran bahagia, berbangga dengan ketidaktaatan dan kian teruja dengan budaya hedonisme kerana pengaruh rakan dan media, serta pelbagai lagi alasan bersifat kejahilan, kemalasan serta ketidaksungguhan. Hal derita ini akhirnya membawa kepada keluh-kesah, keliru, celaru dan haru-biru dalam menjalani Sekolah Kehidupan.

Allah SWT berfirman:

“Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya, agar kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 63).

Ya, alhamdulillah meskipun suasana yang saya nyatakan di atas mungkin perkara biasa yang selalu dihidangkan bila berhadapan dengan generasi alaf baru dan seolah-olah sudah disebatikan dengan ehwal generasi muda kini, namun alhamdulillah masih ramai dalam kalangan mereka yang ada cinta, kasih dan sayang dalam hatinya terhadap Islam. Malah sekiranya ditanya kepada mereka sama ada mereka berkeinginan untuk menggapai redha Allah di dunia ini dan beroleh SyurgaNya di Akhirat kelak, melalui pengalaman saya bersama para remaja ini, hati jujur mereka sentiasa bersemangat mengatakan ya kami mahu turut merasai nikmat beragama. Justeru menjadi tanggungjawab kita semua ke arah meyakinkan dan mengajak diri kita dan mereka dengan penuh hikmah agar sentiasa berpegang teguh dengan Kitabullah (Al-Qur’an) dan Sunnah Nabi Muhammad SAW dengan bersungguh-sungguh. Bahkan inilah rahsia keselamatan dan kebahagiaan kita di dalam kehidupan dunia ini.